Dalam kita meniup semangat ke medan perjuangan, terkadang kita mungkin terlupa dan terleka bahawa bumi Malaysia sudah berdiri 54 tahun lamanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap warganegara Malaysia punya hak masing-masing tidak kira hak individu, hak bangsa, hak beragama mahupun hak berhimpun yang ingin sama-sama kita perjuangkan. Namun, dalam kita bersemangat menegakkan hak kita, jangan sesekali kita terlupa bahawa Malaysia sebagai sebuah negara juga punya HAK untuk terus berdiri 100 tahun lagi sebagai sebuah negara bangsa yang harmoni, bertoleransi, bertamadun dan berdaulat!
Perhalusi iltizam pejuang kemerdekaan terdahulu yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara untuk semua bangsa berbilang kaum. Apa yang diinginkan oleh bapa-bapa kemerdekaan kita adalah sebuah bangsa Malaysia yang hidup berharmoni dengan berbilang latar belakang dan kepercayaan mampu bertoleransi antara satu sama lain dan meletakkan nilai integriti sebagai asas perpaduan nasional.
Oleh itu perbetulkan niat dan keikhlasan kita dalam menuntut perjuangan hak masing-masing. Jangan sesekali menidakkan HAK bumi Malaysia yang bertuah ini.
Semoga rasional dan akal budi menguasai jiwa, jangan sesekali membiarkan emosi mencetus gelora di dada. Kerana apa jua yang ingin kita perjuangkan semalam, hari ini mahupun hari esok adalah untuk tanahair kita Malaysia yang tercinta. Demi anak bangsa, demi generasi Malaysia akan datang! Berdoalah pada Tuhan, setiap insan yang bergelar warganegara Malaysia juga punya intipati perjuangan yang sama walaupun dengan cara berbeza.
Semoga Tuhan bersama kalian!