20 September 2010

Hari raya dan kehadiran Amin Muhaimin

Takbir hari raya tahun ini amat bermakna. Tambahan 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Masa beraya menjadi sedikit singkat kerana muslimin bersolat jumaat kemudiannya namun kemeriahan masih jelas terpancar. Raya kali ini di Penang. Alhamdulillah, perjanjian 'pra perkahwinan' masih digunapakai setelah tahun lepas seminggu di Pekan, Pahang. Syukur dapat seorang isteri yang memahami keperluan untuk berada di barisan hadapan setiap kali raya pertama di rumah ayah di Penang. 

Saban tahun rumah ayah tak pernah lekang dengan kunjungan rakan dan taulan. Walaupun sudah 3 tahun kebelakangan ini, rumah terbuka ayah hanya ala kadar tapi teratak itu terus 'bertuah' menerima kunjungan tetamu. Kali ini lebih selesa dalam suasana kekeluargaan tanpa perlu protokol berlebihan (dahulu TYT Penang datang berhari raya). Lebih banyak masa bersama tetamu membuatkan mereka turut gembira dan terharu. Dan paling utama, duit raya buat adik-adik yang datang sebagai menjunjung budaya datang beraya.   

begitulah selalunya hari raya pertama kami di Penang. Mungkin tahun hadapan rancangannya lain. Sudah tiba masanya pula untuk ayah dan mak keluar berhari raya berkunjung sanak saudara pada hari raya pertama. :)

7 syawal 1431H 

Tangisan seorang  bayi memenuhi ruang hospital apabila diangkat untuk di timbang.  Kesan darah dan lemak masih kelihatan di keseluruhan badan dan mukanya. Suaranya sayup sayup meneran memohon belas ihsan. Dirinya masih  terkejut 'dikeluarkan' dari rahim ibunya sebelum masa. Tangan dan kaki meronta tidak tahu hala tujunya. Mujur si jururawat pantas dan cekap. Dibendung sahaja anak itu terus senyap dan selesa.


Lalu si ayah harus menjalankan tanggungjawab mengazan anak setelah lahir ke dunia. Dikendong anak itu buat pertama kali seumur hidupnya, minda entah ke mana tapi jelas ada wajah kegembiraan menerima kedatangan orang baru dalam hidup ini. Syukur pada tuhan. Suasana begitu syahdu apabila didekatkan mulut pada telinga anak lalu diazankan, dia tidak menangis malah memandang terus ke mata. Mungkin kenal akan suara yang mendendangkan ayat ayat Allah itu. Si ayah sebak.

Begitulah kehadiran Amin Muhaimin, penuh hikmah penuh barakah.. cahaya mata syawal
Alhamdulillah

1 comment:

Syigim said...

moqq.....this is too beautiful. i've always read birth experience from moms point of view, but this is the first from a dad.

i think there were tears when i read! good luck daddy moqq, hugs for milla and kisses for amin muhaimin!