26 May 2010

Kepada Nya jua lah kamu akan kembali

Hujung minggu lepas aku kembali ke kampung halaman untuk menyertai persidangan UMNO cawangan. Aku tiba seawal hari Sabtu supaya saki baki persiapan dapat dilakukan. Tambahan ayah telah meng'amanah'kan ku untuk menghadiri satu kenduri perkahwinan di dalam kampung. Aku tiba bertemankan tok yang juga mengambil kesempatan pulang untuk melihat keadaan rumahnya yang lama tidak dijenguk sejak pulih dari serangan angin ahmar. Alhamdullilah perjalanan kami balik ke Tasek Gelugor selamat.

Mujur ada kakak dan keluarga yang sudi meneman tok di kala malam. Itu yang lebih baik dari mengharapkan aku yang pasti akan sibuk (buat2 sibuk) untuk memastikan perjalanan persidangan kali ini berjalan lancar. Menjawat sebagai Ketua Pemuda Cawangan, aku harus memastikan kuota kehadiran ahli ke mesyuarat mencukupi jika tidak kami tidak akan dapat bersidang. Lalu bertali arus sms ku kirim pada rakan2 agar menunaikan tanggungjawab sebagai ahli. Terkadang termenung juga ku memikir apa caranya semangat dan tanggungjawab dapat dipupuk di kalangan masyarakat kampungku. Yang berjiwa muda terus 'masyuk' dengan arus hiburan manakala yang tua  terpaksa berpenat lelah dalam mencari sedikit kesenangan.   

Hari ditunggu tiba juga. Petang Ahad itu kami semua berkumpul sekali lagi di Dewan PAKK bagi menjalankan tanggungjawab. Bermula dengan persidangan pemuda yang bersidang di bawah pokok ala kerajaan PR Perak suatu ketika dulu. Perjalanan mesyuarat lancar dengan kehadiran 12 ahli. Aku agak gusar awalnya kerana ku kira makin ramai kurang berminat pada UMNO. Tampak semacam ada kelesuan dalam organisasi UMNO masakini.

Selesai mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, kami disatukan dalam mesyuarat yang lebih  besar penglibatan iaitu mesyuarat cawangan. Ini merupakan kemuncak persidangan UMNO di peringkat cawangan dengan semua ahli di cawangan bersidang bersama. Acara yang dinantikan oleh setiap ahli UMNO cawangan untuk bersama2 bermesyuarat dalam merangka kerangka halatuju UMNO di masa hadapan.

Ketua UMNO Cawangan, Hj Roslan memulakan ucaptama beliau tentang senario politik masakini, bagaimana undi pengundi Cina menjadi faktor kemenangan dan kekalahan BN. Ramai beranggapan pengundi Cina mula beralih arah tetapi ramai sebenarnya tidak sedar bahawa pengundi Melayu pun sedemikian rupa. Cuma yang membezakan antara keduanya adalah sebilangan besar bangsa Cina mendaftar sebagai pengundi walhal orang Melayu hanya gah memperkata tentang hak bangsa tetapi tatkala perlu diterjemah dalam bentuk undi tidak pula yang berdaftar. Inilah polemik bangsa ku

Kami sebulat suara di belakang ketua cawangan dalam membawa usul pemberian lesen perjudian bola oleh kerajaan harus dikaji semula. Semua bersetuju tidak ada faedahnya menaksir cukai dari sumber yang tidak halal. Apatah lagi dalam senario politik masakini hanya akan memberi modal besar kepada pembangkang membawa isu dan mendapat 'mileage' politics. Kerajaan seharusnya konsisten dalam perjuangan menegakkan agama. Tidak boleh ada timbang tara dalam 2 isu (Kalimah Allah dan Lesen Judi) kerana kedua- duanya melibatkan pendekatan kerajaan. Jangan sampai rakyat mencebik tindak tanduk kerajaan yang tidak sensitif dalam 2 isu ini.

Ketika mesyuarat menuju pengakhiran, Bendahari UMNO Cawangan, Paksu Bakary mengambil kesempatan menyampaikan amanat. Beliau memohon agar warga emas jangan dipersiakan. Tidak disangka itu merupakan wasiat terakhir beliau. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir sejurus selesai memberikan ucapan. Dalam keadaan kelam kabut, semua harus menerima ini adalah ketentuan. Walaupun digamit kesedihan, pemergian beliau harus diredhai. Benarlah ayat ayat dari Tuhan - Daripada Allah kamu datang, dan kepadaNya jua kamu akan kembali.

Alfatihah buat arwah.





No comments: