Dalam kita menempuh 10 hari pertama Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah ini; lebih afdhal dikongsi sedikit persoalan dan perbincangan untuk kebaikan bersama. Kita selalu tidak dapat membezakan antara nikmat berbuka puasa dengan menikmati berbuka puasa itu sendiri. Termasuk diri penulis yang kadang kala lalai atau mengambil sikap tidak kisah dalam isu ini. Rata-rata daripada kita apabila menjelang Ramadhan, acara menikmati berbuka puasa merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu. Samada atas jemputan korporat mahupun anjuran teman-teman, menikmati acara berbuka puasa merupakan satu pilihan setelah seharian berpuasa.
Namun dalam kita teruja menghadiri acara sebegini, pernahkah kita berfikir sejenak apakah kita merasai nikmat berbuka puasa dalam keadaan kita menikmati berbuka puasa?
Keliru?!
Contoh situasi mungkin dapat memberi sedikit gambaran perbezaan. Acara menikmati berbuka puasa adalah acara berbuka puasa yang selalunya dianjurkan di hotel-hotel terkemuka mahupun di restoran ternama ataupun kadangkala diadakan di rumah dengan menjemput tetamu dan rakan taulan. Acara berbuka ini selain dihidangkan pelbagai juadah berbuka sebagai sajian berbuka, dendangan lagu mahupun nasyid juga turut berkumandang ketika acara berbuka puasa. Lebih menarik, surau untuk bersolat juga disediakan bersama ustaz yang akan memimpin solat Fardhu dan Terawih. Peluang menikmati berbuka puasa ini memang sangat dinanti dan tanpa kita sedari ianya telah menjadi satu 'trend' setiap kali Ramadhan menjelma.
Berbeza dengan rasa nikmat berbuka puasa; suatu perasaan yang hadir dengan penuh insaf dalam situasi berbuka puasa dalam kadar yang sederhana. Mungkin hanya sekadar buah kurma dan segelas air manis dengan sedikit kuih muih menjadi bekalan berbuka. Namun ianya cukup untuk melepaskan rasa lapar dan dahaga lalu terus disusuli dengan bangkit bersolat Maghrib berjemaah. Perjalanan acara berbuka yang cukup ringkas namun yang dikecapi adalah sebuah perasaan yang indah; mensyukuri rezeki yang Allah berikan.
Tidak dapat tidak setiap daripada kita pasti melalui kedua-dua situasi sepanjang Ramadhan ini. Pasti kedua duanya memberi satu pengalaman pada diri kita. Tanyalah sanubari, pada ketika mana kita merasakan kita lebih dekat pada ilahi, Tuhan rabbil alamin. Pada ketika kita hanyalah hamba yang mendamba dari-Nya jalan taqwa.
No comments:
Post a Comment