Agak sukar untuk memahami kepentingan dan kemuliaan kalimah 'Allah' dalam konteks masyarakat Melayu Islam di negara ini sekiranya kita hanya melihat isu ini hanya sekadar nama.
"Apa ada pada nama?" Mungkin itu retorik pihak berkepentingan yang bersetuju kalimah Allah hanya satu sebutan yang boleh menjadi ganti diri 'tuhan' dalam bible bahasa Melayu tetapi hakikatnya masyarakat Melayu Islam meletakkan kalimah 'Allah' pada kedudukan dan kemuliaan yang tinggi dan tidak boleh dipermainkan apatah lagi mempersenda dengan menyamakan ketuhanan dan keesaan 'Allah' seperti agama lain.
Dalam sebuah negara yang majoriti rakyat adalah Melayu dan 100% beragama Islam dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi amat sukar sesuatu isu 'sensitif' sebegini dapat diterima dengan hati yang terbuka. Penerimaan nama Allah dalam bible berbahasa Melayu hanya akan mengundang persepsi negatif di kalangan masyarakat Melayu Islam adanya 'niat tersembunyi' di kalangan misionari Kristian dalam pengembangan ajaran Kristian di kalangan Umat Melayu Islam. Walhal sudah termaktub dalam perlembagaan persekutuan seorang Melayu itu wajib seorang muslim untuk menuntut hak kemelayuannya. Keadaan akan bertambah buruk kerana me'murtad'kan seorang Islam dalam majoriti negara Muslim akan memberi impak yang besar bukan sahaja dari sudut lahiriah malah kesan jiwa mendalam dalam setiap umat Melayu Islam. Ianya ibarat satu bentuk 'penghinaan' tidak langsung kepada umat Melayu Islam apabila perjuangan menegakkan hak menggunakan kalimah 'Allah' dalam bible berbahasa Melayu di interpretasi sebagai hak kebebasan beragama selaras perlembagaan persekutuan 143 akan membuka ruang seluas-luasnya pengembangan ajaran Kristian di kalangan bangsa yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Isu ini sebenarnya tidak mampu di tangani melalui jalan penghakiman kerana penggunaan kalimah 'Allah' dalam bible berbahasa Melayu hanya secebis daripada perkara pokok keseluruhan isu melibatkan dunia Islam dan Kristian. Sejarah menyaksikan bahawa Dunia Islam dan Kristian sentiasa bertemu dan berkonfrontasi dan seboleh-bolehnya isu sensitif ini dielakkan agar 'kepercayaan' dan saling hormat menghormati antara agama yang wujud dalam konteks negara Malaysia dapat terus dipertahankan. Sekiranya salah satu pihak berani menyeberangi 'garisan' kehormatan antara agama itu maka implikasinya amat besar dan bibit-bibit kebencian dan khianat akan mula dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memarakkan lagi api kemarahan yang sudah timbul.
Sudah tiba masanya semua pihak melihat isu ini lebih dari sebuah nama kerana sesungguhnya Kalimah 'Allah' itu suci dan mulia mengatasi hukum dan undang-undang manusia. Carilah ruang penyelesaian segera dan kembalilah kepada nilai kasih sayang, keamanan dan toleransi yang dipupuk dalam semua agama kerana sesungguhnya meletakkan asas kepercayaan kepada tuhan tanpa mempertikai hak hidup bersama dan beragama adalah lebih mulia dari mengadu domba menegakkan 'hak' yang bukan milik kita dari mula.
Sent by mymorky plan
No comments:
Post a Comment