Parti UMNO yang satu ketika dinobat sebagai juara 'MERDEKA' kini menghitung hari nasibnya. Kredibiliti yang terbina kukuh di era gemilang kerajaan BN di bawah teraju UMNO semakin lupus; jauh sekali diterima baik oleh majoriti rakyat Malaysia. Keadaan ini mungkin mengusarkan kepada pengikut-pengikut yang bersandarkan politik sebagai 'periuk nasi' mereka, namun ini merupakan petanda baru bahawa kematangan politik tanahair semakin terserlah dan aliran intelektual, integriti, karisma dan khidmat juang terus mendapat tempat di hati rakyat.
Untuk meneruskan kelangsungan UMNO, perubahan yang ekstrem harus dilakukan oleh pucuk pimpinan. Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Mac kelak akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana ahli UMNO benar2 ingin berubah demi mempertahankan parti orang Melayu ini. Politik retorik dan politik 'in denial' harus disanggah 100% oleh barisan kepimpinan baru dan juga para perwakilan yang mewakili ahli-ahli UMNO pelusuk negara. Harus di ingat, seluruh rakyat akan memerhati sejauh mana kita bersedia untuk berubah. Hanya dengan keikhlasan kita untuk berubah iaitu dengan mengaku kesalahan dan memohon maaf atas kesilapan kita yang lepas sehinggakan UMNO dan BN terkesan menerima 'hukuman' rakyat pada PRU yang 12. Maka dengan hati terbuka, pimpinan UMNO harus menjadikan peristiwa itu sebagai satu pedoman dan ingatan bahawa pimpinan yang korup, tidak amanah dan tidak berintegriti harus 'disanggah' sama sekali dari pimpinan UMNO dan kerajaan. Dengan cara itu barulah persepsi rakyat akan kembali yakin dengan UMNO malah memberi sokongan untuk UMNO terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Sudah tiba masanya untuk UMNO membuka ruang lingkup yang lebih luas untuk ahli-ahlinya dapat menyuarakan pandangan. Suara ahli akar umbi harus dilihat sebagai suara keramat melangkaui 'collective minds' para majlis tertinggi UMNO. Mungkin juga telah tiba masanya untuk suara Presiden UMNO di' kawal' oleh satu majlis penasihat yang lebih tinggi kedudukan agar kuasa presiden tidak sesuka hati disalahgunakan. Begitu juga tempoh penggal menjawat jawatan penting dalam UMNO, perlu ada garis panduan bahawa perjawatan tersebut dihadkan kepada beberapa penggal sahaja demi memberi cukup ruang kepada barisan kepimpinan muda untuk meneruskan kesinambungan.
Pada dan ketika ini, kedudukan UMNO bukanlah parti yang popular di kalangan anak anak muda kerana persepsi korupsi, elitis, salahguna kuasa dan sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan malah perlu diterima sebagai satu tindakan yang 'noble' sekiranya UMNO mengambil pendekatan seperti konsep peperangan iaitu Pengunduran. Langkah ini bukanlah satu langkah pesimistik malahan perlu dillihat sebagai langkah wajar dalam erti kata 'berundur sedikit untuk mengumpul kembali kekuatan'. Setelah kekuatan terbina, maka UMNO boleh kembali berjuang di arus perdana.
Persoalannya, adakah pimpinan UMNO di semua peringkat sanggup dan bersedia untuk berundur seketika?
No comments:
Post a Comment