8 December 2009

"Inilah lumrah kehidupan"

"Bukan senang nak senang, Bukan susah nak susah.."
"Buat! jangan buat-buat... main! jangan main main."

Terngiang-ngiang kata-kata itu tatkala meniti perjalanan ku kembali ke rumah. "Hari ini bukan hari ku.." getus hatiku sayu, sesayu mindaku yang terus mengelamun ketika tangan masih memegang stereng melintasi ratusan deretan kereta di plaza tol.

Ku kira pagi tadi adalah permulaan yang baik. Rupanya aku salah. Aku mengaku aku tak sempurnakan kewajipan pada malamnya. melabuhkan dahiku sujud pada Yang Esa. "Oh tuhan, ampuni aku!" Dan setiap kali itu juga aku terus berjanji kepada Yang Esa; bahawa tidak akan sekali  ku lelapkan mata ini selagi aku tidak bersujud kepadaMu dan tiap kalinya juga aku terus memungkiri Mu, Ya Allah!

"Masihkah ada ruang keampunan pada diriku yang dhaif ini?" Aku menyesal untuk ke sekian kali. Memang benar nasihat orang-orang tua bahawa pintu rezkimu akan dibuka setiap pagi tatkala mentari merah menyinsing di ufuk timur. Namun ketika itu aku kerap dibuai mimpi. sigh.

Kekalutan pagi ini tambah perit apabila si dia juga dingin terhadapku. Aku tak salahkannya, dia hanya menjalankan kewajipan sebagai seorang istri. Mana mungkin seorang istri sanggup membiarkan permata hatinya hanyut tanpa pedoman. Sekali sekali bebelannya menyakitkan telinga tapi benar belaka. Yang salah tetap aku tetapi sayang sekali ego lelaki tak bisa mengaku kalah. Kesudahannya, perasaan si istri pasti terguris, sedih. Maafku sayang! Pagi ini tidak seperti yang kita harap-harapkan rupanya.

Sepanjang perjalanan, kami berdua memilih untuk berdiam. Ku kira tidak guna membakar lagi perasaan kerana penyudahnya sudah dapat diduga. Masing-masing mengelamun dan mempertahankan pendirian. Ego menguasai jiwa. Penyudahnya, tiada siapa yang untung.. masing masing menanggung rugi kerana sanggup berlapar dari kalah dalam perdebatan. Nampaknya darah muda masing-masing masih kuat menyala! :)

Pagi ini ku isi dengan pertemuan dengan rakan niaga. Perjalanan untuk projek seterusnya masih jauh. Sang ketua merasa perlu bukti kukuh dari pihak aku sebelum wang dapat disalurkan. Aduh! 2 minggu lagi. Kadang-kadang aku fikir sejenak, "adakah mereka tidak yakin dengan keupayaan ku? habis kenapa sanggup laburkan jutaan ringgit jika tak percaya projek ini akan berjaya? Manakan dapat ruyung kalau tak pecahkan sagunya, bukan?!"

Aku dan rakan niaga menerima keadaan seadanya. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini, Tambahan pula  kami akan lebih bersiap siaga. Biarlah keringat kami bercampur namun mundur untuk projek ini tak akan sekali kali ku hambur. Kami percaya ada sinar di luar sana. Pabila peluang itu terbina pasti kami akan gempur.

Sebelah petang aku bersama paman. Kali ini kami cuba pula menyakinkan si pembekal bahawa kami lah yang paling layak menjadi rakan niaga mereka. Projek ini bukan sebarangan, membekal peralatan untuk makmal biosekuriti jabatan. Perbelanjaannya besar tetapi pengalaman si pembekal merupakan penanda aras projek ini mampu kita ketengahkan bersama. Namun sekali lagi aku malang, si pembekal merasakan projek ini ada kekurangan. Ada jurang yang besar antara harga peralatan sebenar dengan anggaran yang dimasukkan jabatan. Justeru, si pembekal merasakan ada 'permainan' di peringkat jabatan dan kita harus waspada agar tidak kecundang di peringkat mula. Ahh..gagal lagi aku hari ini.

Aku agak kecewa. Yalah, janji sudah bermacam-macam di depan mata. Hasilnya masih tiada. Keluh aku tak berhenti. Terima kasih ada paman yang terus beri motivasi; "Yang ini baru kita gagal yang ke 3.. Paklang sudah gagal sampai tak terkira.." Alah Bisa Tegal Biasa katanya. Syukur aku ada paman yang memahami dan sentiasa beri kata-kata semangat. Ku ucapkan selamat tinggal padanya di Subang Jaya dan keretaku terus meluncur laju menuju ke plaza tol...

Begitulah perjalanan aku hari ini.
Langit tak selalunya cerah bila awan mendung berarak lalu.
Namun aku tetap percaya pasti ada sinar pelangi tatkala hujan berhenti.
Yang pasti aku akan terus maju hadapan.. ya, mungkin sesekali menoleh ke belakang tetapi tidak sesekali kembali berpatah balik.
Noktah.

No comments: