23 February 2010

UMNO 'juara' rakyat atau 'juarai' rakyat ??


Parti politik terbesar orang Melayu dan juga komponen utama BN telah memulakan jejak langkah memenangi hati rakyat dengan menjalankan program menyeluruh di seluruh negara atas nama 'UMNO juara rakyat'. Ini merupakan usaha UMNO dalam mengorak langkah mendapatkan semula kepercayaan rakyat sebelum menghadapi PRU 13 akan datang yang dijangka menjadi titik tolak kelangsungan parti UMNO dalam meneraju pentadbiran negara.

Bermula dengan sambutan besar besaran di Selangor yang dirasmikan oleh YAB Presiden Parti, program juara rakyat dilihat dan dicanang sebagai satu program untuk rakyat menilai sendiri segala jasa dan perjuangan UMNO dalam menjadi juara rakyat selama lebih 63 tahun. Pelbagai aktiviti melibatkan semua sayap UMNO dijalankan agar rakyat merasa lebih faham, dekat dan inklusif kepada UMNO yang merupakan tonggak kerajaan BN. Penerangan dan program ini dilihat sebagai platform untuk membuktikan UMNO benar benar jaguh rakyat bukan jaguh orang UMNO semata-mata.


Program UMNO juara rakyat kini mula dijalankan di pelusuk negara. Sambutan di Kedah misalnya, dirasmikan oleh YAB Timb Presiden UMNO seterusnya program-program yang lebih fokus turut dilaksanakan oleh sayap parti seperti di Sembrong, Ipoh dan di peringkat bahagian; tasek gelugor P Pinang. Kelihatan parti UMNO mula offensif dari segi penglibatan program dengan rakyat dengan harapan rakyat akan terus memberi peluang kepada parti UMNO memerintah negara dan menawan semula negeri-negeri yang tewas dahulu.


Komitmen UMNO dalam menjayakan program ini harus dipuji apatah lagi rakyat mendapat faedah dan keuntungan apabila terlibat dgn program sebegini seperti klinik bergerak percuma, ceramah kerjaya, penerangan dasar-dasar kerajaan dan sebagainya. Namun apa yang sedikit terjejas adalah pendekatan yang cuba dibawa UMNO, apakah sebenar yang ingin disampaikan? Apakah parti UMNO mahu dilihat sebagai juara dan jaguh rakyat? Adakah semua program ini berkisar tentang parti UMNO yang banyak berjasa? Oleh itu rakyat 'bersalah' jika membuat pilihan yang lain? Atau adakah kepimpinan UMNO cuba mengambarkan bahawa hanya UMNO berhak dinobat juara rakyat? Tiada yang lain?

Sebenarnya pendekatan yang harus pimpinan UMNO ketengahkan bukan berkisar tentang UMNO dan jasa-jasanya tetapi lebih kepada peranan dan usaha UMNO dalam menjuarai rakyat! Rakyat yang harus didahulukan bukannya apa yang UMNO telah lakukan. Persepsi bahawa UMNO harus dijulang sebagai juara rakyat harus dibuang jauh kerana tanpa rakyat siapalah UMNO. Yang harus diutamakan, didahulukan dan dijuarai dalam konteks ini adalah rakyat bukan UMNO. Sebolehnya nilai bangga, lagak dan riak tentang kejayaan UMNO harus dibuang jauh-jauh dan kini pemimpin UMNO perlu sedar yang juara sebenar adalah rakyat dan parti UMNO perlu berdiri sebagai satu wadah untuk memperjuangkan rakyat.

Meletakkan rakyat melebihi parti adalah jalan terbaik untuk mendapat mandat rakyat dalam suasana ledakan demokrasi hari ini. Penerangan UMNO harus pandai menggunakan 'tagline' yang lebih dekat di hati rakyat.

Ironinya, dalam kesungguhan kerajaan ingin memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan masih kedapatan yang tidak tahu menyurat isi yang tersirat.
Sayang 1 Malaysia, sayang... 



Sent by mymorky plan

No comments: