'Kemaruk kuasa' telah menjiwai pembesar-pembesar kita. Semua saling berantakan kerana mengejar tampuk kuasa yang menjadi idaman setiap yang bergelar pemimpin bangsa. Argh, cukup mual mendengar rintihan dan desakan, ditambah pula dengan pertuduhan dan penafian. Saling tak tumpah seperti mainan pelawak sarkas yang mahu 'audien' bertepuk tangan melihat siapa yang bakal kecundang disiram susu basi lewat petang.
Ini bukan lagi sebuah realiti tv yang dimainkan untuk mengundang emosi penonton; tetapi inilah realiti pembesar MELAYU masa kini. Pembesar-pembesar MELAYU yang hebat di canang sebagai pembela ketuanan bangsa, peneraju ekonomi negara dan pendokong kuat institusi agama tetapi akhirnya terjerumus dalam kancah perebutan kuasa. Apa sebenarnya perjuangan datuk datuk pembesar sekalian?
Permainan politik terkini sungguh menjengkelkan. Pembesar pembesar MELAYU ini sudah tidak ada nilai malu dan santun asal kepentingan sendiri dapat dipertahankan. Antara mereka sedar atau tidak, kemelut politik mereka telah memaksa rakyat yang tidak bersalah turut serta memainkan peranan. Sudahlah rakyat yang menanggung bebanan inflasi dan kemelesetan ekonomi kini rakyat pula keliru kepada siapa harus mereka bergantung. Hari demi hari, si rakyat kais pagi tak mengenal untung, demi mengejar sesuap nasi untuk terus bersabung hidup dan pembesar MELAYU terus bergalah kerana tak perlu risau makanan di rumah, sudah tersedia mewah walaupun hati semakin goyah.
Lain lah rakyat yang terpaksa bersusah, dan kini menjadi hakim kepada masalah.
Inikah harga yang dibayar rakyat memberi kuasa kepada pembesar memerintah; menjadi pariah!?
No comments:
Post a Comment