29 April 2009

"Pemuda Masuk Kampung", salah gambaran

Ketika melayari beberapa blog kenalan di ruang siber, melayari blog Dr Mahadi J Murat banyak membuka minda saya melalui pandangan-pandangan segar beliau tentang erti perjuangan dalam partai politik.

Walaupun Dr Mahadi J Murat lebih dikenali sebagai penggiat seni namun pandangan ikhlas dan tepat beliau tentang situasi semasa harus dihargai dan dikupas secara objektif mahupun subjektif demi meneruskan kelangsungan perjuangan terutama dalam konteks perjuangan Pemuda UMNO. 

Dengan izin, saya ingin berkongsi pandangan beliau dengan semua pemimpin pergerakan Pemuda tidak kira di peringkat Nasional, Bahagian mahupun Cawangan untuk sama-sama kita ambil iktibar dan merencanakan wacana perjuangan kita yang lebih dekat di hati rakyat. Semoga ulasan ini mampu memberi kita suntikan baru untuk lebih berkerja keras sebagai pejuang bangsa dan tanahair.

kita ikuti ulasan seorang pembikin filem, Dr Mahadi J Murat di sini;



"SEORANG wartawan bertanya pendapat saya mengapa pilihanraya kecil yang diadakan di semenanjung selepas PRU12 parti-parti bukan BN menang. Apa bezanya jentera pilihanraya UMNO / BN dengan pekerja pilihanraya bukan UMNO / BN.

Saya kata, "aku mana tau; kamu patut lebih tahu, kamu "warta"wan". Dia marah saya kerana katanya saya berada pada kedudukan yang lebih bebas yang tidak dipengaruhi oleh dasar, arahan dan niat untuk membela mana-mana parti. "Engkau melihat dengan mata dan hati yang lebih betulFikiran engkau belum rosak lagi" katanya.

Saya menjawab ringkas. UMNO/BN kini tidak lagi menjadi sebahagian dari rakyat. Mereka tidak hidup ditengah-tengah rakyat banyak. Mereka kelihatan seperti 'makhluk asing' yang datang beramai-ramai hanya bila ada pilihanraya, atau hanya apabila ada pembesar. Tentulah payah untuk orang merasa parti itu sebahagian dari mereka, lebih-lebih lagi dengan masing-masing memakai macam-macam title, gelaran dan pangkat yang dibesar-besarkan, yang pada orang awam memang mempesonakan; tetapi semua itu menjadi pembina jarak dan jurang mengakibatkan orang-orang yang datang bermusim itu bukan sebahagian dari "gulungan mereka". Parti bukan UMNO/BN sebaliknya adalah "makhluk tidak asing" kepada orang ramai kerana mereka sentiasa berada bersama mereka di sepanjang tahun. Sebab itu kita lihat orang ramai dengan mudah memberi sumbangan dalam menjayakan "program" mereka, termasuk sumbangan dalam bentuk wang ringgit. 

Dengan kata lain pemimpin UMNO dilihat orang sebagai golongan "bangsawan", kerana imej orang besar, orang berada yang dibawa mereka - (bandingkan dengan Dato' Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, misalnya). Lihatlah pemimpin-pemimpin pemuda, wanita, puteri dalam UMNO/BN yang sehingga diperingkat cawangan pun mempunyai gelaran dan penampilan yang hebat, tetapi tidak tepat. Orang bertanya apakah yang telah disumbangkan mereka; sedangkan pemimpin-pemimpin muda bukan UMNO/BN hanyalah orang kebanyakan yang akrab dan dekat dengan masyarakat dan orang ramai.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini sebagai contoh; walaupun ayahanda dan nindanya tokoh hebat, dia adalah anak bangsawan yang dilihat tidak memilikki jiwa raga orang kebanyakan. Hisham semasa tenurenya sebagai ketua pemuda kelihatan dari luar hanya pandai menghunus keris di pentas. Itupun bergetar bila disergah rakan-rakan bukan Melayu dalam BN. Cintanya terhadap bangsa (dan bahasa) tidak sampai, dan program popularnya hanyalah "pemuda masuk kampong"; yang mengesahkan dengan sendirinya ketidakberadaan pemuda dan beliau sendiri di kalangan rakyat.

Masyarakat hari ini telah berubah, sebahagian besarnya memandang orang bergelar dan gulungan bangsawan dengan sinis dan penuh kecurigaan; lebih-lebih lagi kepada orang yang tidak diketahui latarbelakang pemikiran dan jasa mereka kepada negara.

Saya katakan juga kepada kawan wartawan ini, ketua pemuda yang baru Khairi Jamaluddin yang tidak dilantik ke mana-mana jawatan kerajaan dan masih tidak mempunyai gelaran Dato' misalnya, adalah imej yang tepat bagi pemuda UMNO. Saya juga katakan, sebaiknya pemuda UMNO mengikut apa yang dibuat oleh parti-parti bukan UMNO/BN dan bergeraklah sebagai "NGO" di bahagian dan cawangan-cawangan dengan program yang kelihatan bukan politik. Lebih baik lagi kalau program-program berkenaan dijalankan tanpa terlalu jelas sangat bentuk politiknya.

Selagi imej (termasuk logo / lambang / cogankata ) UMNO/BN di kehadapankan dengan berlebihan, selagi itulah sukar bagi UMNO/BN untuk masuk ke dalam lingkungan yang bukan dari kalangan ahli mereka; sedangkan golongan inilah sasaran utama mereka. Golongan inilah yang dikategorikan sebagai golongan rakyat yang akan menentukan penerimaan terhadap UMNO / BN pada PRU 13 nanti.

Fikirkanlah bagaimana Satu Malaysia dapat menyumbang kepada objektif ini untuk menentukan ia tidak menjadi sebaliknya"

No comments: